January 16, 2010

Kekuatan Jiwa



“Orang yang kuat itu adalah orang yang mampu menahan marahnya ketika dia marah.” Marah memang mudah, namun berapa ramai yang mampu bertindak dengan bijak ketika marah menguasai diri? malah, sesetengah ulama’ berpendapat yang talak tidak jatuh apabila diucapkan ketika marah.

Muka menjadi merah padam, darah naik ke muka, badan menjadi panas, tangan digenggam kuat, menggigil, fikiran hanay bertumpu kepada bagaimana menjadikan orang lain sakit hati kembali. Bertapa tidak rasional tindakan-tindakan pada ketika itu. Yang kasih menjadi benci, yang cinta menjadi musuh, semuanya menyakitkan hati.

“Wahai Rasulullah, berilah satu nasihat terakhir yang paling penting buat ku (wasiat),” kata seorang yang datang menemui nabi Muhammad SAW. Dia inginkan satu nasihat terpenting, satu nasihat yang menjadi tiang paling penting dalam hidupnya. Maka apa jawab Nabi? “Jangan Marah!”. Itu sahaja? Dia kurang percaya, lalu bertanya sekali lagi, “Wahai Rasulullah, berilah satu nasihat terakhir yang paling penting buat ku (wasiat)”, baginda mengulanginya sekali lagi, “Jangan Marah”. Masih kurang berpuas hati, soalan yang sama tetap diajukan buat kali terakhir, meminta kepastian. Tetaplah keyakinan dalam dirinya setelah mendapat jawapan yang sama dari Baginda Nabi SAW, “Janganlah Marah”.

Marah membuatkan fikiran menjadi kacau dan tindakan menjadi tidak bijak. Mengikut perasaan dan tidak berlandaskan al-Qur’an. Marah adalah senjata syaitan untuk meyebabkan manusia hilang pertimbangan. Marah itu memang fitrah, tapi bagaimana tindakan anda ketika marah?

Tapi ingat, tidak marah bukan bererti tidak menegur atau tidak menghukum. Menegur dan menghukum apabila anak melakukan kesalahan itu perlu, tapi bukanlah disebabkan oleh kemarahan.

Saidina Ali berhenti dari membunuh musuh kerana musuh itu meludah ke mukanya. Apabila ditanya kenapa dia berbuat demikian, dia menjawab, aku bimbang niat aku membunuh kerana Allah berubah menjadi membunuh kerana marah.

Anda pula apakah jawapan anda agak-agaknya?

petikan: anakkusayangblog

No comments: